Allah
mengurniakan tahap kecerdasan akal fikiran yang berbeza-beza kepada
manusia. Ada yang kuat ingatan, ada yang sederhana dan ada yang lemah.
Pelajar yang bijak dan kuat ingatan memadai dengan hanya P&P
dalam kelas telah menguasai sesuatu ilmu dengan baik. Itu adalah
kurniaan Allah kepadanya dan amat jarang yang mendapat kelebihan
seperti ini pada masa kini. Kebiasaannya pelajar memerlukan kepada
ulangkaji yang berulang kali baru dapat menguasainya.
Kebanyakan
pelajar biasanya berdepan dengan masalah sukar untuk mengingati ilmu
yang dipelajari. Perkara yang perlu dilakukan oleh pelajar untuk
mengatasi masalah ini ialah ;
PERTAMA
: Menghindarkan diri daripada sebarang dosa. Dosa yang dilakukan
mengakibatkan hati menjadi hitam. Inilah hijab yang menghalang untuk
mendapat ilmu. Seorang pelajar hendaklah sentiasa menghindarkan diri
daripada sebarang dosa agar ilmu mudah diperolehi. Terdapat pelajar yang
boleh mengingati isi kandungan yang diajar oleh gurunya walau pun tidak
mengulang kaji pada waktu lain. Kenapa ?. kerana hatinya suci bersih
dan berkat.
KEDUA
: Tingkatkan amalan kerohanian dan amal soleh untuk membersihkan hati
dan untuk memperolehi keberkatan daripada Allah SWT. Sentiasa menjaga
solat fardu, menunaikan solat-solat sunat, berzikir, membaca al-Quran
setiap hari dengan perhatikan makna-maknanya. Amalan-amalan soleh ini
akan mencapai keberkatan daripada Allah SWT dalam menuntut ilmu.
KETIGA
: Menghafal dalam keadaan fizikal yang sejahtera dan segar, minda yang
lapang dan rehat. Mengingati sesuatu merupakan proses yang berat
ditanggung oleh akal. Ia memerlukan tenaga yang sempurna daripada tubuh
badan yang cergas. Proses mengingati ilmu akan menjadi sukar bila
fizikal dalam keadaan letih seperti mata yang mengantuk dan
sebagainya. Sekiranya anda dalam keadaan begini dinasihatkan melakukan
perkara yang lebih ringan seperti menyalin nota atau membuat
latihan-latihan mudah. Kalau menghafal pun hanya akan membuang masa.
Dapatkan rehat yang secukupnya untuk mengembalikan kecergasan. Rehat
yang terbaik ialah tidur yang mencukupi dan waktu minda yang lapang
ialah selepas bangkit dari tidur. Sebab itu kita dapati ramai pelajar
yang cemerlang memanfaatkan masa pada awal pagi untuk mengulang kaji dan
menghafal pelajaran.
KEEMPAT
: Memberi tumpuan sepenuhnya semasa menghafal. Terdapat pelajar yang
menghafal sambil mendengar muzik, menonton tv, menghantar sms dan
lain-lain lagi. Kalau begini caranya menghafal sampai dua jam pun,
dijamin gagal mengingatinya dengan sempurna. Kita hendaklah benar- benar
fokus perkara yang ingin diingati tanpa memikirkan perkara lain. Allah
jadikan akal manusia tidak dapat fokus terhadap dua perkara dalam satu
masa. Ini adalah fitrah kejadian manusia. Walau pun tidak dinafikan
terdapat pelajar yang dapat mengulang kaji pelajaran sambil mendengar
muzik dan sebagainya. Ulangkaji dan menghafal adalah dua perkara yang
berbeza.
KELIMA
: lafazkan hafalan anda sehingga didengari oleh telinga anda sendiri.
Bila mulut yang menyebut, telinga yang mendengar dan mata yang
memandang akan memudahkan akal menerima hafalan tersebut berbanding
menghafal tanpa bersuara. Kenapa anda dapat mengingati lagu Inggeris dan
Hidustan?. Jawapannya ialah kerana biasa mendengar berulang kali.
Inilah kehebatan nikmat mendengar yang merupakan salah satu sumber ilmu.
KEENAM
: Ulangi hafalan anda sehingga benar-benar mantap. Tiada had berapa
kali yang perlu diulang. Selagi hafalan masih samar dan kabur, ulangi
berulang kali. Jangan rasa jemu dan mudah berputus asa. Lebih memudahkan
untuk mengingati bila difahami kandungan yang dihafal. Contohnya kita
mampu mengingati ayat al-Quran yang dihafal tapi lebih mudah kita
mengingatinya dengan difahami makna ayat-ayat tersebut.
KETUJUH
: Tulis perkara yang anda hafal tanpa melihat teks. Perkara ini penting
untuk memastikan ingatan anda benar-benar mantap atau sebaliknya. Ia
juga baik untuk mengelakkan berlaku kesilapan bila menjawab soalan yang
sebenar. Semak hafalan yang ditulis tadi dengan teks sebenar. sekiranya
terdapat kesilapan, ulangi menghafal sekali lagi sehingga benar-benar
diingati .
KELAPAN
: Istiqamah dalam menghafal. Untuk mengingati ilmu adalah mustahil
hanya dengan sekali hafalan. Hafalan secara berkala dan sistematik perlu
dipraktikkan setiap masa. Hafalan boleh dikategorikan kepada dua jenis
iaitu hafalan baru dan hafalan lama. Ilmu yang telah diingati jangan
dibiarkan begitu sahaja. Ia perlu di‘refresh’ secara berkala bergantung
kepada sejauh mana kemantapan sesuatu hafalan. Jangan sia-siakan masa
yang telah dihabiskan untuk mengingatinya, kemudian dibiarkan lupa
begitu sahaja. Kesimpulannya, hendaklah disediakan jadual pembelajaran
untuk membahagikan masa antara hafalan baru dan ‘refresh’ hafalan lama.
KESEMBILAN
: Semak hafalan anda dengan rakan yang lain. Amalan ini amat praktikal
untuk memantapkan sesuatu hafalan berbanding menghafal bersendirian.
Bagi mata pelajaran Bahasa Arab, memperdengarkan dan mendengar soalan
dari pihak lain amat mustahak untuk melatih pelajar menguasai
kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Dengan ini pelajar dapat
membiasakan diri bertutur dengan Bahasa Arab dengan lancar dan fasih.
Sekurang-kurangnya pelajar tidaklah kekok dan pelik bila menghadapi
ujian syafawi ( lisan) kelak.
KESEPULUH
: Tampal nota atau bahan yang penting di tempat yang biasa dan kerap
dilihat. Ini bertujuan memantapkan hafalan yang penting seperti formula
sains atau matematik. Bila diyakini mantap, gantikan dengan nota yang
lain. Buangkan gambar-gambar artis kesayangan atau poster yang tidak
berfaedah. Hiasi bilik ‘study’ anda dengan perkataan, formula dan ilmu
yang bermanfaat.
KESEBELAS
: Tips yang terakhir ialah doa dan tawakkal. Pastikan setiap usaha
yang anda lakukan seiring dengan pergantungan dan penyerahan diri
kepada Allah Yang Maha Pengurnia. Dialah yang menguatkan ingatan, Dialah
yang Melupakan. Semuanya dalam KekuasaanNya. Oleh itu, setiap kali sama
ada sebelum atau selepas menghafal panjatkan doa kepadaNya tanpa rasa
jemu. Yakinlah bahawa doa anda itu akan diterima dan sentisa berbaik
sangka dengan Allah. Sekurang-kurangnya anda akan mendapat pahala kerana
doa itu adalah satu ibadat. Tidak akan rugi dan menyesal seseorang yang
banyak berdoa di akhirat kelak.
0 comments:
Post a Comment